SUBANG JAYA: Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2025 pada 18 hingga 20 April di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dijangka menarik kehadiran lebih 210,000 pengunjung.

Presiden MATTA Nigel Wong berkata pameran antarabangsa edisi ke-56 ini dijangka menjana jualan melebihi RM270 juta.

"Kami menyasarkan kira-kira 500 reruai. Angka ini tinggi.

"Sehubungan itu, kita akan memberi lebih tumpuan kepada produk domestik baharu. Kita mempunyai lapan organisasi pelancongan negeri (yang akan) menyertai (acara ini)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wong berkata selain produk domestik, Pameran MATTA akan turut menawarkan produk dan perkhidmatan untuk destinasi luar negara.

Menurutnya Jepun, Taiwan, India, China dan beberapa negara Afrika Selatan akan turut terlibat dalam acara ini.

MATTA akan turut menganjurkan acara Perniagaan Kepada Perniagaan (B2B) MATTA Connect buat julung kalinya untuk memberi peluang kepada penjual daripada pelbagai negara berhubung dengan pembeli tempatan bagi meneroka destinasi antarabangsa baharu dan membina perkongsian perniagaan baharu.

MATTA Connect akan diadakan pada 17 April 2025 di MITEC, sehari sebelum Pameran MATTA bermula.

-- BERNAMA