Perdana Menteri berkata, obor perjuangan itu akan terus menyala berbekalkan semangat "suara rakyat, suara keramat".
"Terus perkuat jentera kita dan beritahu mereka jangan ugut, jangan hina, jangan aib kerana kami sudah lalui semua. Insya-Allah, kita mesti fokus kerja perkukuh parti, fokus kibar, semarakkan semangat reformasi.
"Ingat, jangan anggap enteng. Saya sudah pun sampai ke umur yang amat dewasa, 77 tahun. Saya bertanggungjawab pastikan obor perjuangan ini terus menyala dengan suara saudara-saudara. Suara rakyat, suara keramat," kata beliau disambut dengan sorakan "suara rakyat, suara keramat" dan "reformasi" oleh hadirin.
Anwar berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 10,000 hadirin pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Perhimpunan yang bertemakan "Dari Reformasi ke Malaysia MADANI" itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh serta Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Himpunan itu dianjurkan bagi memperingati detik bermulanya gerakan reformasi 26 tahun lepas.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengingatkan pimpinan PKR yang sudah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan supaya tidak melupakan asas perjuangan parti itu.
"Ada yang pegang pelbagai jawatan, jangan lupa asas perjuangan kita. Kita bangkit dengan segala usaha dan kepayahan. Untuk apa ribuan dipukul? Untuk apa ratusan dipenjara? Malah, pada satu ketika ribuan dimasukkan ke penjara. Untuk apa kita bangkit, untuk apa kita dibuang kerja?
"Sukar liku-liku perjuangan puluhan tahun, sekali lagi kita tanya untuk apa? Untuk memberi makna apa itu merdeka dan kebebasan rakyat," katanya. - BERNAMA