KUALA LUMPUR: Garis Panduan Program Pengawasan Perubatan di Tempat Kerja 2023 akan membantu doktor kesihatan pekerjaan menetapkan piawaian prosedur terkini bagi program tersebut dari segi mengenal pasti penyakit akibat pendedahan kepada bahan kimia berbahaya untuk kesihatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud berkata garis panduan yang ditambah baik daripada garis panduan sedia, turut membantu mengenal pasti kaedah pengesanan biopenanda berdasarkan standard antarabangsa serta kesan bahan kimia kepada status kesihatan secara lebih tersusun dan terperinci.

Beliau berkata Program Pengawasan Perubatan di Tempat Kerja amat penting bagi melindungi pekerja yang terdedah kepada bahan kimia berbahaya dan majikan bertanggungjawab memastikan golongan tersebut menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.

"Program Pengawasan Perubatan ini akan memastikan pekerja yang mempunyai kesan kesihatan akibat bekerja dengan bahan kimia dapat dikenal pasti di peringkat awal serta langkah-langkah kawalan dapat ditambah baik oleh pihak majikan bagi memastikan penggunaan bahan kimia berbahaya ini tidak memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada pekerja," katanya ketika merasmikan pelancaran garis panduan itu semalam.

Beliau berkata garis panduan itu dibangunkan pada 2001 bagi membantu pakar menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja yang terdedah kepada bahan kimia berbahaya kepada kesihatan di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) Tahun 2000.

Beliau berkata Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan mengambil inisiatif untuk membuat pindaan dan menambah baik garis panduan itu berdasarkan perkembangan perubatan dan bukti saintifik terkini.

-- BERNAMA