GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti semula semua kursus-kursus pengajian institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini supaya tiada lagi jurusan sama atau bertindih ditawarkan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata perkara itu akan dibincangkan segera oleh pihak-pihak berkaitan termasuk dalam mesyuarat pasca kabinet minggu ini, supaya ia dapat menangani isu kekurangan pelajar dan bebanan kos.

"Seperti yang disebut tadi memang kita (KPT) akan meneliti mana-mana kursus yang bertindan dan kita tidak mahu ada persaingan antara universiti ini yang akan menyebabkan pelajar-pelajar celaru serta tidak dapat fokus mana satu yang mereka nak masuk (IPT).

"Namun saya fikir ini akan diselaraskan dalam sistem Unit Pusat Universiti (UPU) dan kalau ada lagi juga yang bertindan maknanya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) perlu meneliti serta menyelaras bagi memastikan tidak berlaku pertindihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pentadbir Peringkat Kebangsaan dan Konvensyen Pentadbir Universiti Awam 2024 anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UniMAP (POTENSI) di sini semalam.

Pada Isnin, media tempatan melaporkan MQA mencadangkan kerjasama antara IPT di negara ini untuk menyelaras kursus pengajian supaya tiada lagi jurusan sama atau bertindih ditawarkan.

Syor itu melibatkan program pengajian yang ada persamaan atau bertindih antara universiti yang boleh diselaraskan dengan membenarkan pelajar menyertai kelas tertentu yang mempunyai subjek atau kursus pengajian sama di IPT lain.

Sementara itu Mustapha berkata perkara penting dalam kursus-kursus yang ditawarkan di IPT itu mestilah dipacu oleh pihak industri dan jika kebolehpasarannya kurang daripada 30 peratus, itu antara yang perlu dipertimbangkan untuk diubah suai silibusnya.

Beliau berkata KPT juga terbuka dan mahu menyelesaikan isu ini segera dengan sebaiknya dalam masa terdekat kerana tidak mahu ia berpanjangan kerana ia bukan sahaja merugikan IPT malah pelajar.

"Saya fikir MQA akan memanggil pihak-pihak yang berkaitan untuk membincangkan dan selaraskannya, KPT juga akan bincang dalam pasca Kabinet minggu ini untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis Prof Datuk Dr Zaliman Sauli, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat dan Presiden MASTI Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab.

-- BERNAMA