KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menasihatkan kumpulan pelajar yang berhasrat menganjurkan perhimpunan bagi membantah isu bekalan air dihadapi Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 14 Jun ini supaya menggunakan saluran yang betul.


Ringkasan AI
  • Pelajar UMS dinasihatkan menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan maklumat mengenai isu bekalan air, dan jika meneruskan perhimpunan, mereka perlu mendapatkan permit daripada PDRM.
  • Program UpayaKPT dilancarkan oleh KPT untuk memanfaatkan hasil penyelidikan IPT dalam pembangunan komuniti melalui kursus pendek dan program pemindahan ilmu.
  • Universiti, politeknik, dan kolej komuniti digalakkan untuk turun padang, mendekati komuniti, serta membantu menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi masyarakat.


Beliau berkata kumpulan pelajar berkenaan boleh mendapatkan maklumat dan fakta sebenar mengenai isu air itu menerusi kaedah bersemuka dengan pihak pengurusan UMS, Jabatan Air Negeri Sabah atau mana-mana pihak berkaitan.

Bagaimanapun beliau berkata sekiranya pihak penganjur mahu meneruskan perhimpunan berkenaan, mereka perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebagai warganegara Malaysia kita mempunyai hak-hak dan tanggungjawab. Saya tidak menghalang sekiranya kumpulan pelajar berkenaan mahu meneruskan perhimpunan namun mengikut peraturan yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program UpayaKPT Sepanggar di sini hari ini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian bagi mengulas mengenai penganjuran perhimpunan #KamiMahuAir Sabah di depan Menara Kinabalu pada 14 Jun ini.

Sementara itu mengenai Program UpayaKPT, Mustapha berkata ia adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk merakyatkan hasil penyelidikan IPT supaya dapat dimanfaatkan bagi pembangunan komuniti.

Beliau berkata menerusi program itu, pelbagai aktiviti seperti kursus pendek komuniti dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran dan pembangunan kapasiti dalam kalangan masyarakat.

"Menerusi program ini juga KPT khususnya universiti awam, politeknik dan kolej komuniti akan turut melaksanakan program pemindahan ilmu, kepakaran dan teknologi kepada masyarakat," katanya.

Menurutnya program itu akan membolehkan tenaga kerja dan pelajar IPT turut sama membantu dan menyumbang tenaga serta kepakaran untuk membangunkan dan memperkasakan komuniti.

"Saya berharap pihak universiti, politeknik dan kolej komuniti akan sentiasa turun padang dan mendekati komuniti serta mengambil peduli akan isu dan masalah yang dihadapi masyarakat dan komuniti serta berusaha untuk membantu menyelesaikannya," katanya.

-- BERNAMA