KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperluas program kesedaran di semua universiti bagi mengelakkan mahasiswa menjadi mangsa penipuan sindiket atau keldai akaun.

Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan mengenal pasti mahasiswa yang menjadi mangsa dan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket penipuan.

"Buat masa sekarang kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu sambil kita (KPT) adakan program kesedaran supaya mahasiswa tahu bahawa ada usaha pihak di luar sana untuk mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan dengan menggunakan mereka sebagai keldai akaun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan "Program Global Young Leaders Summit 2024" di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu di sini semalam.

Ditanya mengenai tindakan bakal diambil terhadap pelajar terlibat, Mustapha berkata pihaknya terlebih dahulu akan meneliti setiap kes yang berkaitan sebelum mengambil langkah selanjutnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak bahawa pelajar daripada keluarga B40 menjadi sasaran sindiket penipuan berkenaan.

"Ada kemungkinan (pelajar B40 menjadi mangsa) kadang-kadang kita pun tidak tahu mungkin ada mahasiswa dalam kalangan B40 tertarik dengan iklan-iklan oleh pihak terbabit (sindiket)," katanya.

Sehubungan itu, Mustapha menasihati semua mahasiswa berhati-hati terhadap panggilan atau mesej yang diterima daripada pihak tidak dikenali yang meminta maklumat peribadi termasuk akaun bank.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan mengenal pasti kira-kira 208,000 keldai akaun di negara ini dan sebahagiannya ialah milik pelajar.

-- BERNAMA