PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mahu Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) merekodkan data jumlah panggilan dan persoalan yang diterima daripada orang ramai berkaitan isu subsidi diesel yang baru dikuatkuasakan.


Ringkasan AI
  • Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, meminta Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) untuk merekodkan jumlah panggilan dan persoalan dari orang ramai tentang isu subsidi diesel yang baru dilaksanakan. Data ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca-Kabinet untuk tindakan selanjutnya.
  • Fahmi juga mahu MyGCC dapat memberi jawapan yang baik, lengkap, dan ringkas kepada pertanyaan orang ramai tentang isu subsidi diesel. MyGCC berfungsi sebagai pusat komunikasi untuk menghubungkan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan.
  • Harga diesel di Semenanjung naik kepada RM3.35 seliter mulai 10 Jun, manakala di Sabah, Sarawak, dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. MyGCC menyediakan pelbagai perkhidmatan menerusi panggilan telefon, Chatbot, SMS, e-mel, dan media sosial, beroperasi 24/7.


Bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Jun 2024 di sini hari ini, beliau berkata data berkenaan diminta untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca-Kabinet.

"Di pihak kementerian, kita akan teliti sekiranya ada perkara-perkara yang konsisten dibangkitkan (berkenaan isu subsidi diesel), kita akan panjangkan kepada kementerian berkaitan dan Jemaah Menteri," katanya.

Fahmi pada masa yang sama juga mahu MyGCC dapat menjawab persoalan dibangkitkan pemanggil mengenai isu subsidi diesel dengan baik, tuntas dan ringkas.

Pada Ahad lepas, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula semalam (10 Jun) di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

MyGCC merupakan pusat sehenti dengan nombor tunggal, 03 8000 8000, yang menjadi gerbang komunikasi menghubungkan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan.

MyGCC menawarkan perkhidmatan penerimaan pertanyaan, aduan, bantuan pemindahan talian, cadangan dan maklum balas rakyat melalui saluran panggilan, Chatbot, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), e-mel dan media sosial (Facebook, Instagram, Twitter) beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

-- BERNAMA