Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata setiap negara anggota ASEAN kini sedang menumpukan usaha untuk meningkatkan penghasilan TBB dan tenaga bersih.
"Di Malaysia sahaja permintaan untuk tenaga adalah kira-kira 8,000 megawatt kerana pusat-pusat data berminat datang ke Malaysia seperti NVIDIA, Microsoft dan Google," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Laos, di sini Khamis malam.
Hampir 200 diaspora Malaysia berada di negara ini terlibat dengan pelbagai sektor perniagaan antaranya pertanian, pendidikan, galian dan TBB.
Beliau berkata pelaburan syarikat utama itu melibatkan nilai yang besar dan Malaysia memerlukan sumber TBB dan juga air yang dapat dibekalkan untuk peserta industri tersebut.
Fadillah berkata perkara itu bukan hanya merupakan peluang untuk Malaysia malah juga untuk negara ASEAN lain.
"Di Laos ini sebenarnya ada banyak potensi dari segi membekalkan sumber tenaga boleh baharu dan tenaga bersih," katanya.
Justeru, Fadillah berkata Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN pada tahun hadapan akan menumpukan antaranya pembangunan sektor tenaga selain berharap agenda Grid Tenaga ASEAN (APG) dapat dimuktamadkan pada 2025.
Beliau berkata APG akan membolehkan transaksi pembekalan tenaga merentas sempadan dan perkara itu pasti memberi peluang perniagaan kepada pemain industri.
-- BERNAMA