BEIJING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan untuk meluangkan masa bertemu diaspora Malaysia di China.


Ringkasan AI
  • Sultan Ibrahim bertemu dengan lebih 300 diaspora Malaysia di China, termasuk ahli perniagaan, penuntut universiti, dan warga kedutaan.
  • Lawatan ini adalah yang pertama bagi Seri Paduka Baginda ke China, menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
  • Sultan Ibrahim turut dijadual melawat Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing COMAC untuk meninjau perkembangan teknologi penerbangan China.


Sultan Ibrahim yang sedang melakukan Lawatan Negara pertama Seri Paduka Baginda ke China atas jemputan Presiden Xi Jinping bermula dari 19 hingga 22 Sept, berangkat pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini pada 10 pagi.

Turut hadir Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zain dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Lebih 300 diaspora Malaysia yang hadir antaranya ahli perniagaan, penuntut universiti dan warga kedutaan Malaysia ke China.

Majlis santapan hampir sejam itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan tradisional negara China.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis Seri Paduka beramah mesra dan bersalaman dengan diaspora Malaysia.

Seri Paduka Baginda juga sempat bertanya khabar rakyat Malaysia di sini, yang teruja untuk bertentang mata dengan Ketua Utama Negara Malaysia.

Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China yang kian berkembang pesat, sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.

Lawatan Negara ini bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun, menandakan satu detik penting bagi kedua-dua negara yang merayakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

Hari ini Sultan Ibrahim juga dijadual berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.

Seri Paduka Baginda dijadual berangkat pulang ke Malaysia esok. - BERNAMA