NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri hari kedua lawatan beliau ke India dengan mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di sini.

Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau menekankan keperluan Malaysia membuat beberapa keputusan yang tidak popular, seperti rasionalisasi subsidi diesel, untuk mengelak kekayaan negara daripada dieksploitasi oleh pihak luar.

Anwar yang sedang dalam lawatan rasmi ke India dari 19 hingga 21 Ogos, turut menasihatkan pelajar dan anak muda Malaysia yang hadir supaya menghargai perkara yang baik.

Lebih 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar hadir dalam perjumpaan itu.

Hari ini, Perdana Menteri akan mengakhiri lawatan rasmi tiga harinya dengan menghadiri mesyuarat dengan ketua-ketua industri di India, selain bertemu Presiden parti BJP, J.P. Nadda dan mengadakan sidang media bersama dengan media Malaysia sebelum berlepas kembali ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA