VLADIVOSTOK: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan memastikan rantau ASEAN mempunyai kerjasama dan hubungan bilateral yang lebih baik dengan Rusia.

Perkara itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Rusia Vladimir Putin sewaktu mesyuarat dua hala antara dua negara di Vladivostok pada Rabu.

Beliau berkata Malaysia sendiri komited untuk mengukuhkan kerjasama dengan Rusia dalam semua bidang yang telah wujud sebelum ini, termasuk bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi lanjutan.

“Potensi (kerjasama Malaysia-Rusia) cukup besar, tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kami telah memutuskan untuk mengukuhkan kerjasama dalam semua bidang.

“Dan saya berjanji selepas saya mengambil alih kepengerusian ASEAN, saya akan pastikan ASEAN juga mengambil pendirian yang sama,” katanya lagi.

Dalam mesyuarat dua hala tersebut, Perdana Menteri turut ditemani Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari dan pegawai-pegawai kanan Kementerian.

Anwar tiba di Vladivostok bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 anjuran Yayasan Roscongress yang berlangsung antara 3 hingga 6 September ini, di mana beliau dijadualkan akan menyampaikan ucaptama pada Khamis di sesi pleno forum tersebut.

Dalam pada itu media sebelum ini melaporkan, hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS pertama kali dizahirkan Perdana Menteri pada Jun lepas, dengan blok itu dianggarkan menguasai satu per lima perdagangan global, serta mewakili 40 peratus populasi dunia.

BRICS, yang awalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, kini disertai Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriyah Arab Bersatu, dengan anggaran kira-kira 32 lagi negara telah menyatakan minat untuk menyertainya.

Sementara itu dalam kenyataan susulan, Perdana Menteri berkata, beliau turut menyentuh mengenai hasrat Malaysia untuk mengembangkan lagi ruang geoekonomi serta mempelbagaikan hubungan strategik.

“Rusia akan menjadi rakan penting yang berkongsi visi Malaysia untuk pertumbuhan, kemakmuran dan pembangunan. Dari kewangan Islam ke agro pertanian dan pendidikan, potensi untuk Malaysia dan Rusia memanfaatkan kepakaran masing-masing demi keuntungan bersama rakyat, adalah besar sekali,” katanya lagi.