KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu dididik untuk tidak menormalkan budaya memuat naik gambar dan video kanak-kanak di sosial media atau menyentuh kumpulan itu tanpa kebenaran ibu bapa mereka.

Pakar Kriminologi dan Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi) Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM), Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berpandangan kumpulan itu juga tidak sepatutnya didedahkan dengan perkara-perkara yang membimbangkan.

"Apa yang berlaku, kadang-kadang kita tengok masyarakat, dia menormalkan satu-satu perbuatan (seperti) saya pernah tengok sendiri budak itu tak pakai seluar dan mereka (orang dewasa) buat main-main dan ejek.

"Jangan buat seperti ini sebab bila kamu buat macam itu... kamu akan bagi budak itu ingat 'ini tidak salah atau ia sesuatu yang normal'.

"(Kanak-kanak terbabit akan merasakan) kadang-kadang pakcik atau abang saya bergurau macam ini dengan saya," katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan di Astro AWANI pada Khamis.

Dialog Tiga Penjuru: Eksploitasi Kanak-Kanak | Ini Bukan Normal!


Mengulas lanjut, Dr Haezreena berkata, ibu bapa dan guru-guru perlu memainkan peranan dengan memberikan pendidikan kepada kanak-kanak mengenai pengantunan seksual (sexual grooming) dalam dunia digitalisasi, ketika ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Perunding Psikologi Perkembangan PsiTra Klinik Psikologi dan Konsultasi (PKPK), Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata kanak-kanak perlu dididik dengan kemahiran asertif untuk mereka membezakan perkara positif atau negatif.

"Dalam pembinaan karakter ini, selain pendidikan seks, kena bentuk juga sempadan dalam mendidik anak-anak kita.

"Kita ajar pengetahuan tentang mana sempadan yang perlu ada, dengan siapa perlu bercakap, bila boleh bercakap, atau nak pergi dengan siapa. Tetapi perkara ini perlu sentiasa diajar kepada anak-anak dan bukan bersifat 'one off'," ujarnya.

Bagi aktivis dan Pengasas Pocket of Pink (POP), Ain Husniza Saiful Nizam pula, dia berpandangan sistem pendidikan seksual yang lebih komprehensif perlu diperluas bagi menangani isu pengantunan seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Jelasnya, stigma bahawa pendidikan seksual akan menggalakkan kanak-kanak melakukan aktiviti tidak senonoh, perlu dihapuskan.

"Pendidikan seksual secara komprehensif adalah untuk mengajar kanak-kanak mengenai cara untuk menerapkan teknik-teknik tertentu unutk menjaga diri daripada pemangsa-pemangsa seksual.

"Contohnya, bila kanak-kanak merasakan mereka disentuh dengan cara tidak selamat, mereka cakap 'no' dan pergi kepada seseorang yang mereka percaya.

"Kalau tidak diajar, kanak-kanak ini sendiri pun mungkin tidak sedar apa yang berlaku kepada mereka adalah amang seksual," ujar Ain Husniza.

Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki yang juga pemilik akaun ‘Abang Bas’ dengan lebih 640,000 pengikut di platform berkenaan sering memuat naik video jelas memaparkan wajah murid yang menjadi penumpangnya.

Susulan itu, tertuduh yang masih bujang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi Jumaat lalu.