Tertuduh yang berusia 27 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Berdasarkan pertuduhan pertama tertuduh telah melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 14 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati membuatkan kanak-kanak sama membuat sentuhan fizikal ke atas tertuduh bagi maksud seksual.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 10 pagi di sebuah rumah di Taman Seremban Jaya, di sini, pada 28 September lalu.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dituduh dan dihukum di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak (AKSTKK) 2017.
Apabila disabitkan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan masing-masing bagi Seksyen 14(a) dan 14(b) AKSTKK.
Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman penjara yang ringan kerana berpendapatan RM2,000 sebulan sebagai pekerja gudang dan menanggung seorang anak, isteri, tiga adik serta bapa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga memaklumkan sudah berkahwin dengan ibu mangsa sejak tiga tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balqis Zunaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.
Nurul Balqis juga memohon mahkamah supaya mengambil kira kepentingan mangsa yang juga anak tiri tertuduh yang masih bersekolah berbanding kepentingan tertuduh yang melakukan perbuatan sangat serius.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 30 September lalu. - Sinar Harian