Mohd Tajudin Mokhtar, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang berusia 16 tahun lima bulan di dalam pejabatnya di sekolah berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi pada 2 Julai lalu.
Oleh itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu dengan cara menunjukkan gambar-gambar perempuan seksi melalui telefon bimbitnya ke pelajar tersebut yang bersifat seksual di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maisarah Abd Razak manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Haiyyi Salim.
Maisarah mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin manakala peguam, Abdul Haiyyi bagaimanapun memohon pengurangan wang jaminan kerana tertuduh mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi selain isterinya yang merupakan suri rumah turut mengalami penyakit Sistemik Lupus Erimatosus (SLE), talasemia dan tiroid.
Mahkamah membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi dua pertuduhan dengan dua penjamin dan tertuduh membayar jaminan itu.
Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan hingga kes selesai dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 14 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes. - Sinar Harian