Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa Muhammad Amirul Hazlin, 18 tahun, dan adiknya Nur Afiqah Sofea, 5 tahun, dikatakan dalam perjalanan menziarahi pusara bapa mereka yang meninggal dunia 10 bulan lalu.
Lebih hiba, tragedi itu disaksikan sendiri ibu mereka, Norizan Ujak, 40 tahun, yang mengekori dari belakang menaiki sebuah motosikal lain bersama seorang lagi anak perempuan berusia 16 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata, Muhammad Amirul meninggal dunia pada pukul 9.40 malam manakala adiknya disahkan menghembuskan nafas terakhir pada 12.30 pagi tadi ketika dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
“Siasatan awal mendapati dua beradik itu yang menaiki motosikal jenis Demak DV110 sedang dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.
“Sejurus tiba di lokasi nahas, penunggang dipercayai tidak perasan sebuah kontena roro sampah berada di bahu jalan sebelum merempuhnya.
"Kedua-dua mereka pada awalnya dikejarkan ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan di zon merah, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Christopher berkata, mayat kedua-dua mangsa akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
“Polis turut mengesan pemilik roro terbabit serta saksi bebas yang melihat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.