Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian kira-kira 10.15 pagi itu melibatkan tiga motosikal kuasa tinggi dan sebuah kereta.
Menurut beliau, tiga buah motosikal berkenaan bersama beberapa buah motosikal berkuasa tinggi yang lain dalam perjalanan dari Segamat menghala ke arah Kluang.
“Apabila sampai di tempat kejadian berlaku kemalangan antara motosikal pertama ditunggang mangsa yang maut bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan tersebut telah menyebabkan motosikal kedua terlanggar motosikal pertama mengakibatkan motosikal kedua turut terbabas.
“Datang pula motosikal ketiga yang turut terbabas setelah terlanggar serpihan-serpihan atas jalan raya kesan kemalangan akibat perlanggaran pertama dan kedua,” katanya dalam kenyataan pada malam Ahad.
Menurut Shahrulanuar, akibat kemalangan tersebut, mangsa lelaki berusia 64 tahun, cedera di bahagian leher dan organ dalaman badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mangsa beralamat di Pasir Gudang manakala penunggang dan pembonceng motosikal kedua iaitu seorang lelaki, 58, dan isterinya, 56, cedera.
"Turut cedera penunggang motosikal ketiga iaitu seorang lelaki, 29, manakala pemandu kereta berkenaan pula cedera ringan di beberapa bahagian badan," ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan polis.
"Maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4343999," katanya lagi. - Sinar Harian