Kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu meragut tiga nyawa termasuk pasangan suami isteri, Marzlan Abu Hassan, 52, dan Noriza Saad, 34, sekali gus menyebabkan anak mereka kehilangan insan tersayang sekelip mata.
Muhammad Azrul Hafizi, 15, bersama adiknya, Aina Damia,14, dan adik tiri mereka yang merupakan kembar, Nur Qaseh Melissa Marzlan, 2, dan Nur Chinta Melissa Marzlan kini tinggal bersama bapa dan ibu saudara mereka, Kasuadinata Saad, 45, dan Zuraina Abu, 53.
Aina berkata, dia dan abangnya berjanji akan menunaikan hasrat arwah ibunya untuk menjaga dua adik tiri mereka sampai bila-bila.
Menurut pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi itu, dia juga akan sentiasa memastikan mereka berempat sentiasa bersama selama-lamanya dan tidak akan berpisah.
"Pada hari kejadian, ibu memberi pesanan kepada kami supaya jaga Chinta dan Qaseh dengan baik seperti kebiasaannya sebelum keluar dengan bapa menghadiri kenduri di Sungai Tok Pawang.
"Bagaimanapun, kami dikejutkan berita kemalangan mengorbankan ibu dan bapa tiri kami lebih kurang jam 2 pagi Jumaat," katanya ketika ditemui di kediaman bapa saudaranya di Kampung Tanjung Musa di sini pada petang Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga maut termasuk sepasang suami isteri dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Alor Pudak - Titi Haji Idris di sini pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa yang maut dalam kemalangan berusia 14, 34 dan 52 tahun.
Menurut Aina, mereka berempat kini terus tinggal di rumah bapa dan ibu saudara mereka selepas kemalangan yang mengorbankan nyawa ibu dan bapa tirinya.
"Walaupun rumah kami tidak jauh dari rumah bapa dan ibu saudara, tetapi saya enggan pulang kerana rumah itu mengingatkan kenangan kami bersama mereka berdua," katanya.
Aina menambah, sehingga kini, dia terus merindui mereka dan sentiasa teringatkan masakan arwah ibunya yang menjadi kegemarannya iaitu kari ayam dan laksa.
Sementara itu, Zuraina memberitahu, ramai yang kasihan dan berhasrat mengambil anak-anak saudaranya selepas mengetahui kemalangan menimpa Noriza dan Marzlan.
Menurutnya, ada saudara-mara dan kenalan memaklumkan kesediaan mereka membantu menjaga anak-anak kepada adik iparnya itu.
Bagaimanapun, katanya, dia telah menganggap arwah Noriza seperti adik kandungnya sendiri, sekali gus bimbang empat anak saudaranya akan berpisah antara satu sama lain.
Katanya, suaminya hanya bekerja sebagai tukang paip, namun mereka sekeluarga bersedia menjaga empat beradik itu demi memastikan mereka tidak berpisah.
"Azrul dan Aina memang rapat dengan adik-adiknya dan mereka yang menjaga pasangan kembar itu apabila ibu dan bapa tiri mereka keluar bekerja," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu empat adik beradik ini boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Zuraina Abu (ibu saudara) bernombor 0219141000014015. - Sinar Harian