Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi melibatkan dua kenderaan iaitu motosikal berkuasa besar Honda CBR dan Mistubishi Pajero.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila pemandu pacuan empat roda yang berusia 77 tahun bersama penumpang dari arah Kampung Baru Tambun telah keluar simpang.
"Dalam masa sama penunggang motosikal berusia 25 tahun yang datang dari arah Tanjung Rambutan menuju ke Pekan Ipoh tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan pacuan empat roda yang keluar simpang itu.
"Akibat daripada pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada manakala pemandu dan penumpang kenderaan tersebut tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Abang Zainal Abidin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Justeru itu, pihak polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Inspektor Mohamad Faiz Abdul Khalim di talian 018-3728477 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya memandu secara berhemat dan sentiasa memakai tali pinggang keselamatan dan topi keledar.
Jelasnya, masyarakat juga diingatkan supaya mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain. - Sinar Harian