Draf Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak sudahpun disiapkan dan bakal dibawa ke Kabinet bagi mendapatkan persetujuan dan perbincangan polisi pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pasukan Petugas Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selepas persetujuan peringkat dasar bersama Kabinet, ia akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara bagi memperincikan lagi akta.

Tambah Azalina, selepas dibawa ke Jabatan Peguam Negara, ia akan dibincangkan lagi bersama pasukan petugas khas, dan seterusnya dibawa semula ke kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

"Draf akta ini adalah hasil perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Peguam Negara dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

"Akta ini akan meliputi semua isu berkaitan jenayah seksual kanak-kanak termasuk 'child grooming', pornografi, 'dark net', kes-kes atas talian dan luar talian serta beban bukti.

"Taskforce ini juga mahu semua kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak diselesaikan dengan segera, dalam tempoh setahun," kata Azalina dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Pasukan Petugas (Task Force) Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Kuala Lumpur pada Selasa.

Jelas Azalina, pasukan ini tidak mahu melihat kes-kes jenayah seperti ini ditangguhkan oleh mana-mana pihak.

Selain itu, katanya mereka juga membincangkan tentang pengkhususan dari pihak hakim dan pendakwa raya.

"Setiap kes jenayah seksual kanak-kanak, disebabkan beban bukti, kanak-kanak yang akan menjadi saksi, kanak-kanak yang memberi keterangan, perlunya pengkhususan supaya hakim dan pendakwa raya adalah pakar dalam kes jenayah seksual kanak-kanak.

"Ada juga yang membincangkan, bahawa perlu adakan mahkamah khas, kerana melihat ini adalah cara terbaik, supaya kes dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Pihak polis juga, mereka memaklumkan jika ada undang-undang yang khas, mereka perlu pengkhususan yang lebih dari aspek pegawai, penambahan pegawai dan juga kepakaran untuk mendapat keterangan dan siasatan," kata Azalina.

Azalina juga memetik kes Richard Huckle, di mana beliau berkata pihak berkuasa di United Kingdom memiliki pelbagai kepakaran dan jenayah yang berlaku di atas talian juga dapat dibicarakan.

Katanya lagi, keputusan dan rangka undang-undang jenayah seksual kanak-kanak diharap dapat merangkumi semua situasi bukan sahaja dari segi tindakan tetapi juga niat untuk bertindak.

Selain penguatkuasaan, Azalina juga berpendapat semua pihak, seperti komuniti dan masyarakat memainkan peranan untuk kempen pendedahan tentang isu jenayah seksual ini.

Beliau turut menyokong cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seksual di peringkat sekolah kerana yakin pendedahan awal ini dapat membendung masalah selain kanak-kanak boleh mengenalpasti apa yang sedang berlaku.