Sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 atau Bajet 2016 mengambil tempat pada sidang Dewan Rakyat minggu ini.

Namun, disebalik aturan mesyuarat Dewan Rakyat, isu debat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menghangatkan suasana di Parlimen.

Berikut adalah rangkuman apa yang menarik di Parlimen sepanjang minggu ini:


Khamis, 5 November

RAFIZI GANTIKAN TONY

Pakatan Harapan menawarkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggantikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebagai pendebat.

Perkara itu dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan susulan Mesyuarat Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan pada Rabu.



TIADA HALANGAN JADI PENYIAR

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tiada halangan ke atas stesen televisyen lain untuk menyiarkan secara langsung debat 1MDB.

Katanya, tiada halangan selagi kedua-dua pihak bersetuju untuk berdebat.

ARUL BERI KATA PUTUS

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menegaskan pendirian, hanya akan berdebat selepas prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) megenai 1MDB selesai.

Arul berkata integriti PAC perlu dihormati.

Katanya, Pandikar ada kuasa mutlak ke atas hal melibatkan Parlimen.

BUKAN ISU PERIBADI, TAPI RAKYAT - RAFIZI

Dalam pada itu, Rafizi membidas semula kenyataan Arul dengan menyatakan isu 1MDB adalah masalah rakyat dan bukan agenda pembangkang.

Malah, beliau merasakan isu terbabit tidak wajar dijadikan pertarungan peribadi antara Tony dan Arul.

APA KATA AHLI PARLIMEN BN?

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berpendapat, keputusan Arul untuk tidak meneruskan debat selagi prosiding PAC belum selesai adalah langkah tepat.

Malah beliau turut mengkritik langkah Tony yang dilihat lebih bersifat peribadi.



TERUSKAN PERDEBATAN - NAIB PRESIDEN PKR

Naib Presiden PKR pula berpendapat Tony perlu meneruskan debat tersebut.

Shamsul Iskandar Akin yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil menegaskan, Tony adalah individu yang mula-mula mencabar Arul.

Rabu, 4 November

PAKATAN HARAPAN CARIKAN CALON GANTIKAN TONY

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pengganti Tony dalam debat 1MDB hanya akan diumumkan pada Khamis.

Menurutnya calon berkenaan akan dirujuk kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.

PANDIKAR TETAP DENGAN PENDIRIAN

Sementara itu, Pandikar tetap dengan pendiriannya bahawa debat tersebut lebih wajar dilakukan selepas penyata laporan PAC selesai.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak mempunyai kuasa menghalang Arul untuk berbuat demikian kerana Arul bukanlah ahli Dewan Rakyat.

APA REAKSI AHLI PARLIMEN BN?

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berpandangan ada perkara dalam siasatan yang tidak wajar dikongsi dengan rakyat selagi siasatan belum selesai.

Katanya ini merupakan amalan biasa dalam mana-mana siasatan, termasuklah kes di mahkamah.


TIDAK DISIARKAN SECARA LANGSUNG DI RTM

Debat itu tidak akan disiarkan secara langsung di RTM selepas Tony pula menarik diri daripada perdebatan.

Salleh Said menegaskan RTM menawarkan siaran langsung hanya untuk debat antara Tony dan Arul.


Selasa, 3 November

TONY SENARAIKAN 10 SOALAN KEPADA ARUL

Tony menyenaraikan 10 soalan kepada Arul untuk dijawab.

Dalam kenyataannya, Tony berkata 10 soalan itu diberikan awal supaya Arul boleh menyediakan jawapan dengan lengkap berserta dokumen.

Jelasnya semua soalan berkenaan berkaitan kewangan dan bukan soalan politik.

RTM BERI SLOT SIARAN LANGSUNG

Sementara itu, RTM mencadangkan debat tersebut diadakan selama sejam bermula pukul 9 hingga 10 malam pada Jumaat, 6 November.

Salleh Said berkata, lokasi debat itu disyorkan di Studio Satu RTM tanpa kehadiran penonton.

LETAK JAWATAN JIKA DEBAT DITERUSKAN - PANDIKAR

Lebih kurang dalam pukul 11.40 pagi, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah mengejutkan seluruh mereka yang berada di dalam mahupun di lobi Dewan Rakyat.

Beliau mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Speaker jika debat itu diteruskan tanpa mengikut syarat yang diberikan.


PATUH ARAHAN SPEAKER - HASAN ARIFIN

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin menggesa Tony supaya patuh arahan Speaker Dewan Rakyat dan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan 1MDB.

TIDAK HARUS ADA SYARAT - SHAFIE APDAL

Ahli Parlimen BN Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal pula berpendapat tidak harus ada syarat kepada mana-mana pihak dalam usaha untuk menoktahkan polemik 1MDB.

Katanya, apa yang penting ialah rakyat dapat menilai kebenaran melalui isi kandungan debat itu.

AKUI KERAJAAN BERI PETUNJUK, PANDIKAR TERPAKSA BERTINDAK

Pada Selasa malam, Pandikar telah mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama Pengarang Media di Parlimen.

Ditanya mengapa baru kini beliau mengambil tindakan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, katanya kerajaan telah memberi indikasi bahawa debat tersebut akan diteruskan.

Gusar ia akan menjejaskan prosiding PAC, Pandikar berkata ini langkah yang perlu diambil beliau.

Bagaimanapun, Pandikar tidak menyatakan secara jelas apakah petunjuk atau indikasi yang diberikan oleh Kerajaan yang menunjukkan debat itu akan dilangsungkan.

Isnin, 2 November

'LAMPU HIJAU' UNTUK BERDEBAT - PENGERUSI PAC

Hassan Ariffin memberi 'lampu hijau' kepada Tony untuk berdebat dengan Arul.

Kata Hasan, segalanya terpulang kepada Tony Pua sama ada mahu meneruskan debat atau sebaliknya.

TUNJUKKAN KEJANTANAN - ZAHID HAMIDI

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Tony dan Arul menyerlahkan kejantanan masing-masing dalam menoktahkan polemik 1MDB.

Beliau turut berharap Tony dan Arul tidak berdolak dalik, sebaliknya tampil berani di pentas debat secara baik.



TENTUKAN FORMAT DEBAT - SALLEH SAID

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, format debat 1MDB harus ditentukan terlebih dahulu sebelum tarikh dan masa boleh ditetapkan.

Menurutnya, Radito Televisyen Malaysia (RTM) sedia menyediakan ruang tetapi sesi itu mestilah diadakan sebagai debat dan bukan sesi soal jawab.

Nampaknya, 6 November 2015 berakhir begitu sahaja tanpa sesi perdebatan 1MDB yang dinantikan-nantikan rakyat Malaysia.

Adakah drama ini akan berkahir begitu sahaja?

Sidang Dewan Rakyat kini ditangguhkan hingga 16 November sempena sambutan Hari Deepavali dan Kementerian Kesihatan akan meneruskan sesi penggulungan Bajet 2016.