MARANG: Seorang datuk maut manakala cucunya yang berusia setahun parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 58 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Kuala Rhu Kubur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Azman Awang, 56, maut di lokasi kejadian manakala cucunya mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.

Ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Rantau Abang, Dungun menghala ke Kampung Jambu Bongkok, Marang.

Difahamkan, sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Azman dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori sebelum terbabas ke kanan jalan.

Susulan itu, bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Deris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Kesemua mangsa yang terlibat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.