ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terbalik di Jalan Forest City, Gelang Patah di sini pada Sabtu malam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penguasa Bomba Kanan II Hairul Azwii Esrah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.50 malam.

Katanya, seramai 16 anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan pacuan empat roda Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan melibatkan kereta Honda Civic dipandu mangsa, Colineric Bruitche, 31, bersama-sama tiga rakannya menghala ke Lebuhraya Tanjung Pelepas keluar ke Forest City sebelum hilang kawalan dan terbalik.

"Pemandu berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Taman Sejahtera Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang berjaya dikeluarkan pihak bomba dalam masa kira-kira 10 minit.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, tiga rakan mangsa iaitu R Arulmani, 34; R Yogesh, 26, dan K Tanaruban, 33, cedera ringan.

Tambah Hairul Azwii, operasi tersebut selesai pada jam 9.52 malam. - Sinar Harian