Mangsa Muhammad Amirul Ahmad, 20, yang juga pelajar sebuah institut pengajian di Alor Setar meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, kumpulan remaja berusia 17 hingga 20 tahun itu sedang bergerak dari Gurun menghala ke Alor Setar.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kumpulan pertama terdiri lima motosikal sedang bergerak menghala ke Alor Setar.
"Sampai di tempat kejadian motosikal keenam yang datang dari arah belakang telah masuk di tengah antara kelompok lima motosikal tadi sebelum begesel dengan motosikal lain lalu terjatuh.
“Akibat dari pergeselan itu enam buah motosikal itu terbabas di lorong kiri jalan sebelum empat lagi motosikal kelompok kedua dari arah belakang tidak sempat mengelak dan berlanggar lalu terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
Sembilan lagi penunggang yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Pendang dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.