Kata Anna, dia sangat berterima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti mengundi sehingga dia berjaya merangkul anugerah tersebut.
“Saya tak tahu, masih tak terkata sebab saya tak sangka tahun ini.
“Saya tak boleh bagi masa mereka balik yang beri masa vote untuk saya siang malam. Saya tahu mereka bekerja keras untuk mengundi saya, jadi saya nak ucapkan ribuan terima kasih dari hati saya.
“Saya hanya boleh berikan kasih sayang sahaja kepada anda, dan macam saya kata di atas pentas sebentar tadi saya tak akan boleh pegang tiga award malam ini jika tanpa sokongan mereka,” ujarnya.
Selain daripada Gempak Most Wanted 2024, Anna juga berjaya membawa pulang anugerah Selebriti Tergempak dan Drama Tergempak bersama Amir Ahnaf menerusi lakonan mereka dalam drama Syurga Itu Bukan Mudah.
Pada masa sama, Anna tidak menolak jika dia disatukan lagi bersama dengan Amir dalam mana-mana projek baharu selepas ini.
“Mungkin, saya tak cakap no atau yes. Tapi kalau ada peluang itu dan dua-dua free mengapa tidak. Mungkin kali ini saya boleh jadi watak jahat dan dia watak baik, kita tengok la macam mana,” kata Anna ketika ditemui Gempak.
Pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling itu mula dikenali selepas muncul sebagai peserta Dewi Remaja 2018/2019.
Nama mula disebut-sebut dalam kalangan peminat selepas drama lakonannya menuai perhatian peminat dan penonton naskhah bersiri tempatan.
Gara-gara drama tersebut, karier Anna meroket sehingga ke Indonesia, menyebabkan cabang lakonannya mula mengembang di sana.
Sekadar info, Anna telah menerima undian sebanyak 4.9 juta sejak undian Top 5 Gempak Most Wanted Awards dibuka pada 15 Januari lalu.
Acara ini mengekalkan hos tetap program, Amelia Henderson dan Sean Lee, di samping Sherry Alhadad sebagai pengacara.
Malam anugerah berprestij itu dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis terkenal seperti Zizan Razak, Ernie Zakri, Hael Husaini, Amir Masdi, Ara Johari, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Insomniacks, serta wajah-wajah baharu seperti 53 Universe, Naki dan Najmi Niery.
Pentas GMWA 2024 juga akan diwarnai dengan persembahan hebat daripada Hujan, Diskoria dan Datuk Shiela Majid.
GMWA 2024 telah berlangsung secara LIVE pada 23 Februari 2025 dari Auditorium MBSA Shah Alam, eksklusif di saluran Astro Ria (104), On Demand, Astro GO dan sooka. -- Gempak
