Ringkasan AI
- Kegembiraan bercuti sekeluarga bertukar tragedi apabila pasangan suami isteri maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang - Kuala Krai.
- Kereta Perodua Myvi bertembung dengan treler menyebabkan Muhammad Syamie Farhan Adnan dan Nurul Syafika Anis Zulkifli meninggal dunia, sementara dua anak mereka cedera.
- Pihak polis menyatakan kereta itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler, dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, pemandu kenderaan Perodua Myvi, Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan isterinya, Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26, meninggal dunia selepas kenderaan Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler.
Manakala, dua lagi anak mereka, Nur Irdina Delisha, 10 bulan dan Muhammad Izz Danial, 5, mengalami kecederaan di bahagian perut.
Sementara itu abang kepada Nurul Syafika Anis, Mohamad Hasbi Zulkifli, 32, berkata, sebelum kejadian adiknya teruja ingin bercuti ke Kota Bharu bersama isteri dan dua anaknya.
Menurutnya, dia sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada adik iparnya memberitahu tentang kejadian treler terbalik di Bandar Utama.
Namun, katanya, dia tidak menyangka mangsa kemalangan merupakan adiknya sendiri bersama keluarganya.
"Kita tahu sebab siang itu kita hantar (WhatsApp) lori terbalik. Saya pun hantar kepada arwah yang lelaki itu (beritahu) ada lori terbalik, beringat.
"Sekejap kemudian semasa saya hendak cas telefon, hendak tidur, polis telefon kata ada kemalangan, dua-dua dah tiada. Saya pun terus pergi Hospital Gua Musang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Myvi itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
Katanya, semasa melalui kawasan selekoh, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler jenis Scania.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 45 tahun terbabas dan terbalik.
Choon Foo berkata, kereta yang dinaiki empat beranak itu turut terbabas ke bahu kiri jalan.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.