SUNGAI PETANI: Seorang jurujual wanita maut akibat dirempuh sebuah kereta selepas terjatuh daripada motosikalnya yang terlanggar seekor memerang di Jalan Lencongan Barat berhampiran Murthada Dakwah Care (MADAD) di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, Siti Nadhirah Anuar, 22, yang menetap di Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelbagai kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu yang dipercayai berlaku pada jam 12.15 tengah malam membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan terbabit menghala ke arah yang sama iaitu dari Sungai Jagung menghala Taman Nilam.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal bergerak lurus sebelum terlanggar binatang (memerang) yang melintas dari kanan ke kiri jalan.

"Susulan itu, mangsa terjatuh ke kanan jalan dan kemudian datang sebuah kereta Proton Wira dari arah belakang yang cuba mengelak, namun disebabkan jarak terlalu dekat, kereta itu terlanggar penunggang motosikal yang terbaring di tengah jalan.

"Penunggang motosikal itu mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 20 tahun yang bekerja sebagai peniaga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.