SETIU: Seorang anggota polis bantuan maut apabila kereta dipandu terlanggar pacuan empat roda terlibat kemalangan dengan sembilan ekor lembu di Kilometer (km) 57, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Rhu 10 di sini pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, nahas berlaku kira-kira jam 6 pagi itu menyebabkan mangsa, Che Mohd Nasir Jaafar, 56, yang beralamat di Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, manakala sebuah Toyota Hilux dalam perjalanan dari Penarik, di sini menghala ke Kuala Terengganu.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux itu terlanggar sembilan ekor lembu yang berada atas jalan.

"Akibat perlanggaran itu, kenderaan tersebut dipercayai telah memasuki laluan bertentangan dan berada di tengah jalan.

"Selang beberapa minit ketika pemandunya keluar untuk membuat kawalan di lokasi kejadian, tiba-tiba kereta dipandu mangsa datang dari arah bertentangan dan terus melanggar pacuan empat roda tersebut," katanya di sini pada Selasa.

Mohd Zain berkata, kedua-dua kenderaan remuk pada bahagian hadapan manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk urusan bedah siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,"ujar beliau. - Sinar Harian