KLUANG: Seorang lelaki maut manakala tujuh lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 71, Jalan Batu Pahat–Mersing di sini pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 7.18 malam .

“Siasatan mendapati, kemalangan berkenaan melibatkan kereta jenis Proton Persona dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di lokasi berkenaan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Persona.

“Akibatnya, Toyota Hilux terbalik dan penumpang hadapan kereta Proton Persona berkenaan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialami,” katanya.

Dalam kemalangan itu, lima penumpang Toyota Hilux dan dua penumpang kereta Proton Persona mengalami kecederaan.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang untuk menerima rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Sinar Harian