SHAH ALAM: Pihak pembelaan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan cuba membuktikan anak guam mereka tidak pernah menyalahguna kedudukan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri antara 2014 hingga 2018 untuk menerima sebarang suapan.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak pembelaan berkata, pendakwaan perlu membuktikan kes mereka terhadap Presiden UMNO itu, melampaui keraguan munasabah.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak peguambela juga akan membawa keterangan bahawa pertuduhan-pertuduhan ini adalah tuduhan yang di buat atas dasar politik.

“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam tempohnya sebagai Menteri Dalam Negeri, tidak mengambil kesempatan atas jawatannya dan tidak mengaut kekayaan di dalam tempoh tersebut.

“Pihak peguambela juga akan membawa keterangan bahawa pertuduhan-pertuduhan ini adalah tuduhan yang di buat atas dasar politik. Ianya adalah Pertuduhan terpilih dan bertindak sebagai ‘character assasination’ terhadap anak guam,” menurut kenyataan itu lagi.

Sewaktu perbicaraan hari pertama Ahmad Zahid di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa hari ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diwakili barisan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, dan Shahul Hamidi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam ucapan pembukaannya berkata, Ahmad Zahid Hamidi didakwa telah menerima wang suapan sebagai upah mengekal dan/atau melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara tahun 2014 hingga 2018.

Sepanjang empat tahun menjadi Menteri Dalam Negeri, Raja Rozela memberitahu mahkamah, Ahmad Zahid telah mengambil kesempatan dari kedudukannya untuk mengaut kekayaan.

BACA: Pendakwaan mahu buktikan Ahmad Zahid terima rasuah bagi kekalkan khidmat UKSB

Dalam pada itu, pasukan pembelaan berkata, perlantikan UKSB sebagai kontraktor kepada Kerajaan bagi pembekalan perkhidmatan, tidak dibuat sewaktu Ahmad Zahid berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Pihak Peguambela juga akan membuktikan bahawa melalui Saksi dan Dokumen di dalam peringkat kes Pendakwaan, Ahmad Zahid tidak menerima apa-apa wang rasuah dari pihak UKSB.

“Peguam yakin bahawa saksi dalam kes ini akan memberikan keterangan yang benar dan pihak peguambela akan dapat membuktikan bahawa Datuk Seri tidak terlibat dgn dakwaan oleh pihak pendakwaan konsisten dengan pengakuan tidak bersalahnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Selain itu, beliau turut dituduh mendapat dorongan untuk mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapatkan untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1.15  juta, RM3.125 juta, USD15,000, dan EURO5,000 tanpa balasan daripada syarikat sama, yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Bagi 33 tuduhan pertama, beliau, dituduh di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, beliau boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tujuh lagi pertuduhan dilakukan di bawah  Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.