Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah tersebut memerlukan penelitian Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan selain perlu diperhalusi dengan cermat.
"Jangan khuatir, jika perlu kita akan segera buat pengumuman," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pada masa ini kementerian kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) yang menyarankan agar sekolah tidak menganjurkan sebarang aktiviti luar bilik darjah sekiranya suhu cuaca melebihi 35°C selama tiga hari berturut-turut.
"Saya sangat menganjurkan Kementerian Pendidikan atau guru besar supaya tidak mengizinkan pelajar buat aktiviti di luar.
"Itu sangat mustahak kerana kita tidak mahu saksikan kejadian sebelum ini berlaku," ujar beliau.
Cuaca panas luar biasa yang melanda terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah ketika ini dijangka berlarutan selama dua bulan lagi selain menjadi musim paling panas dunia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cuaca panas ini melibatkan dua aspek iaitu fenomena El Nino yang bermula sejak tahun lepas selain faktor perubahan iklim.
Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly berkata, orang ramai juga disaran agar memberi perhatian terhadap kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan cuaca panas.
Sementara itu, mengulas mengenai kekurangan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di hospital daerah, Dr Dzulkefly berkata, kementerian akan mengumumkan satu rancangan pelaksanaan dalam masa terdekat.
"Malam ini mesyuarat tergempar dengan pengurusan tinggi KKM untuk tangani perkara ini," katanya.
Pada 26 April lepas, Dr Dzulkefly dilapor mengarahkan pengurusan KKM di peringkat pusat dan negeri untuk meneliti isu bebanan tugas di hospital serta penilaian semula tindakan yang telah dibuat membabitkan penempatan dan cara kerja PPS. - Sinar Harian