KUALA LUMPUR: Cuaca ekstrem yang melanda ketika ini tidak menjejaskan pengguna untuk mendapatkan bekalan makanan selagi mana harga tidak melambung. 


Ringkasan AI
  • Cuaca ekstrem tidak menjejaskan pengguna untuk mendapatkan bekalan makanan selagi harga tidak melambung. Kesediaan bekalan di pasaran lebih penting berbanding kualiti bekalan.
  • Cuaca panas, kemarau, dan banjir menjejaskan kualiti telur, sayur, dan susu. Telur menjadi lebih kecil dan kurang, manakala susu tidak segar.
  • Beberapa empangan di Malaysia menunjukkan penyusutan baki stok simpanan air mentah ke paras bahaya dan amaran, menjejaskan bekalan air untuk pertanian dan penternakan.


Presiden, Barisan Pengguna Sabah (CFOS) dan Ahli Forum Konsumer Malaysia, Nordin Thani berkata bagi pengguna kesediaan bekalan di pasaran adalah lebih penting berbanding kualiti bekalan yang ada.

“Kalau cuaca panas, kemarau dan banjir pastinya akan menjejaskan kualiti telur dan sayur yang ada di pasaran. Isu kualiti ini mungkin tidak begitu penting kepada pengguna. Tetapi masalah akan timbul apabila harga naik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI pada Khamis.

Beberapa kawasan di Malaysia berdepan cuaca panas sehingga menjejaskan bekalan air bagi tujuan pertanian dan penternakan. 

Dalam pada itu, Profesor Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian dan Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus menjelaskan, cuaca panas ekstrem akan menjejaskan kualiti hasil pertanian dan ternakan seperti sayuran dan telur yang lebih kecil serta susu tidak segar.

“Pada ayam telur, kualiti telur juga akan terjejas. Telur bukan sahaja akan kurang tetapi juga akan jadi lebih kecil. 

“Kalau kadar pengeluaran dan saiz telur terjejas berpanjangan, mungkin akan jejaskan harga pasaran produk ternakan. 

“Begitu juga dengan tenusu, sangat sensitif dengan suhu persekitaran yang tinggi. Saya bimbang ini akan menjejaskan kadar pengeluaran susu segar di Malaysia,” ujarnya.

Setakat Isnin, Empangan Muda di Kedah, Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah berada pada paras bahaya iaitu masing-masing 7.44 peratus, 16.43 peratus dan 28.20 peratus.

Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan lima lagi empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu kurang daripada 59.99 peratus.