Cuaca panas yang melanda negara sejak awal Januari ini dijangka berterusan sehingga Mac ini berikutan fenomena El Nino, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dan membanyakkan meminum air bagi mengelakkan dehidrasi, lapor Bernama.

Tambah beliau, fenomena El Nino itu juga telah menyebabkan negara ini tidak dilanda banjir besar semasa musim tengkujuh baru-baru ini seperti mana musim tengkujuh sebelumnya.

Pada kebiasaannya, keadaan cuaca pada bulan Disember adalah lebih lembap, namun aktiviti monsun yang membawa luruan udara sejuk dari benua China dan Siberia berkurangan menyebabkan kurangnya curahan hujan di negara ini, katanya.

"Keadaan itu mengakibatkan kebanyakan kawasan mengalami kekurangan hujan di antara 20 hingga 60 peratus dan cuaca menjadi panas dan kering dengan peningkatan paras suhu udara sebanyak 0.5 ke 2.0 darjah Celsius," katanya.

BACA: Kumpulan kerja tangani fenomena El Nino diaktif serta-merta

Lazimnya, pada musim tengkujuh, kawasan pantai timur Semenanjung, Sarawak Barat dan pantai timur laut Sabah akan mengalami hujan lebat mulai November hingga Januari setiap tahun.

Menurut rekod jabatan itu bagi taburan hujan Disember tahun lepas, kawasan pedalaman Pahang, Negeri Sembilan, selatan dan barat Perak, utara Kedah dan Perlis telah merekodkan jumlah hujan kurang daripada 200 milimeter.

Kawasan pantai timur juga telah mencatatkan lebih daripada 20 peratus pengurangan jumlah hujan.

Pada 20 Februari lalu, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan bahawa keadaan suhu tinggi yang melanda negara buat masa ini dijangka menjejas mutu beras yang dihasilkan, khususnya dalam bentuk biji beras retak dan berkapur.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, kementerian itu menyatakan bahawa peningkatan suhu dan pengurangan hujan dalam tempoh yang panjang akan menjejas hasil pengeluaran padi, namun ia bergantung kepada varieti yang diusahakan dan kawasan penanaman.

Tidak perlu panik

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Terengganu meminta orang ramai tidak panik dengan fonomena El Nino sebaliknya mengambil langkah perlu termasuk menjimatkan penggunaan air serta mengelak melakukan pembakaran terbuka.



Tangguh pembakaran

Di Kedah pula, arahan menangguhkan pembakaran jerami dikeluarkan ekoran fenomena El-Nino menerima pelbagai reaksi petani. Segelintir daripada mereka bersetuju untuk menangguhkan pembakaran jika ia menjadi punca kepada kenaikan suhu panas.



Kaitan dengan nyamuk Aedes

Fenomena El Nino turut mempengaruhi peningkatan populasi nyamuk. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, suhu panas menyebabkan nyamuk menjadi lebih aktif dengan frekuensi untuk menggigit mangsa adalah lebih tinggi.