JUMLAH suntikan harian vaksin COVID-19 yang direkodkan pada 7 Julai adalah 375,842 dos.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian di Twitter memaklumkan, daripada jumlah itu 207,795 adalah penerima dos pertama. 

Manakala, 168,047 adalah penerima dos kedua.

Jumlah ini sekali lagi memecah rekod jumlah dos harian tertinggi pernah dicatatkan negara.

Semalam, Selangor merekodkan jumlah harian dos tertinggi dengan lebih 49,000 bagi dos pertama diikuti kuala lumpur, lebih 35,000.



Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun lalu dengan sasaran peningkatan kadar vaksinasi kepada lebih 300,000 dos sehari selepas Jun.

Sementara itu, jumlah kumulatif pemberian dos pertama dan kedua dalam negara ketika ini adalah 10.03 juta. 

Daripada jumlah populasi, 21.4 peratus sudah melengkapkan dos pertama, manakala 9.3 peratus sudah melengkapkan dos kedua. 

Peratusan lengkap divaksinasi ini meletakkan sasaran PPN untuk mencapai 10 peratus divaksin sepenuhnya untuk beralih kepada Fasa 2 hampir terlaksana.

Kuala Lumpur mencatatkan jumlah peratusan tertinggi dengan 71.4 peratus yang melengkapkan dos pertama diikuti Sarawak dengan 45.6 peratus.