Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata langkah itu termasuk sentiasa mengandaikan setiap pesakit yang menerima rawatan di hospital sebagai pembawa virus.
"Ini dipanggil langkah pencegahan universal, iaitu menganggap setiap orang yang kita temui itu - di dalam kes ini adalah (pesakit) COVID-19.
"Positif ataupun negatif, tetapi kita anggap positif. Jadi aspek pencegahan kita seperti pemakaian pakaian perlindungan diri (PPE), prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya, kita kena ikut.
"Kedua, mungkin saringan di kawasan-kawasan yang berisiko seperti di Lembah Klang di mana banyak kes komuniti.
"Jadi pihak kementerian mungkin boleh meningkatkan saringan pesakit-pesakit yang datang ke hospital terutama yang mempunyai gejala dalam tempoh masa yang cepat," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas jangkitan yang berlaku dalam kalangan petugas kesihatan terutama di hospital-hospital yang tidak merawat pesakit COVID-19.
Zainal pada masa sama turut bersetuju supaya saringan yang lebih ketat termasuk ujian swab COVID-19 dilakukan dalam kalangan mereka yang menerima rawatan di hospital kerajaan.
"Baru-baru ini ada sesetengah hospital mula meningkatkan saringan, tetapi masalahnya sebab kes yang datang ramai, jadi beban kerja itu tinggi dan kadangkala masa yang diperlukan itu amat terdesak.
"Namun, sebenarnya kalau kita ikut SOP Kementerian Kesihatan di hospital atau klinik dan ia dipatuhi oleh kakitangan, kita dapat mengurangkan risiko itu.
"Cuma dengan adanya ujian saringan, ia lebih tepat dan lebih selamat," katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam memaklumkan sehingga 18 Disember 2020, secara kumulatif terdapat 1,771 kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan.
Sebanyak 1,359 atau 76.7 peratus kes-kes tersebut berlaku semasa gelombang ketiga pandemik COVID-19, termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada Jumaat.
Berikut adalah lima kumpulan petugas kesihatan yang melaporkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi sejak bermulanya pandemik COVID-19 di Malaysia:
- Jururawat - 690 kes
- Pegawai Perubatan - 211 kes
- Pembantu Perawatan Kesihatan - 146 kes
- Penolong Pegawai Perubatan - 144 kes
- Pegawai Perubatan Siswazah - 84 kes
- 587 (33.1%) petugas mendapat jangkitan dari komuniti;
- 565 (31.9%) berlaku di antara petugas-petugas kesihatan;
- 152 (8.6%) jangkitan berkaitan dengan pesakit-pesakit yang masih belum disahkan mendapat jangkitan COVID-19;
- 58 (3.3%) tidak diketahui punca, dan
- 409 (23.1%) lagi punca jangkitan masih dalam siasatan.