PUTRAJAYA:Sebanyak 1,340  kes baharu COVID-19 direkodkan bagi tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini sebanyak 93,309 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu terdapat tiga kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini menjadi 15,563 kes,” katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.

Bagi penularan mengikut negeri, Selangor masih kekal negeri tertinggi mencatatkan pertambahan kes COVID-19 dengan sebanyak 441 kes diikuti Kuala Lumpur 284 kes dan Sabah sebanyak 196 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan empat kes kematian akibat COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini sebanyak 437 individu.

Setakat ini, terdapat sebanyak 116 kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh akibat COVID-19 mencatatkan pertambahan sebanyak 1,067 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 77,309 kes.