Tindakan diplomasi yang diamalkan kerajaan dalam apa sahaja isu melibatkan hubungan dengan Beijing dan Washington diyakini mempercepatkan penghantaran vaksin COVID-19 kepada Malaysia.

Penganalisis Politik Asia Selatan, Dr Azharuddin Mohamed Dali berkata, tindakan proaktif Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam meneruskan hubungan sedia ada dengan negara-negara berkenaan memudahkan segala hal berkaitan isu pandemik.

"Saya fikir semua negara yang ada masalah COVID-19 inginkan vaksin secepat mungkin.

"Tetapi setakat ini yang diumumkan adalah Rusia dan China masih di peringkat ujian.

"Hubungan dengan China yang baik pasti membawa kelebihan kepada Malaysia. Malah, ia akan mengurangkan rasa bersalah China kerana sering dituduh penyebab wabak ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

BACA: Tindakan multilateral Hishammuddin jamin hak dan kedaulatan negara - Penganalisis

BACA:
China patenkan vaksin COVID-19 pertamanya

Terdahulu, China memberikan paten vaksin COVID-19 pertamanya kepada ciptaan vaksin vektor adenovirus yang dibangunkan oleh pasukan Akademi Sains Perubatan Tentera dan syarikat bioteknologi China Cansino Biologics.

Pentadbiran Harta Intelek Nasional China memaklumkan, paten itu telah diserahkan untuk permohonan oleh pasukan yang diketuai pakar penyakit berjangkit Tentera China, Chen Wei, pada 18 Mac dan diluluskan pada 11 Ogos.

Vaksin, tersebut dikenali sebagai "Ad5-nCoV", menggunakan virus selesema yang lemah untuk memperkenalkan bahan genetik dari coronavirus novel ke dalam tubuh manusia.

Rusia sebelum ini dilaporkan sudah mengeluarkan kumpulan pertama vaksin COVID-19 selepas Presiden, Vladimir Putin mengumumkan bahawa ia adalah vaksin yang pertama di dunia yang diluluskan.

Begitupun, pengumuman Putin mendapat perhatian dari saintis dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan ia masih memerlukan kajian keselamatan yang ketat.

Dalam pada itu jelas Azharuddin, Malaysia perlu sentiasa mengekalkan status negara tidak berpihak dalam polisi hubungan luarnya.

"Hubungan baik dengan China tidak harus menolak hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS)," ujarnya.

Selepas Rusia, satu lagi syarikat mendakwa mereka hampir berjaya menemui vaksin COVID-19.

Astra-Zeneca, sebuah syarikat Britain menjelaskan, vaksin yang dihasilkannya kini sudah berada di fasa ketiga ujian klinikal.