ADAKAH durian Raja Buah atau adakah ia merupakan suatu sumpahan?

Peningkatan permintaan -- terutama dari pelanggan China -- untuk buah yang melekit dan amat berbau kuat telah menaikkan harganya di seluruh Asia Tenggara. Antara 2013 hingga 2017, harga durian kacukan yang popular, 'Musang King' (juga dikenali sebagai 'Mao Shan Wang' atau 'kucing tidur' kerana bentuk ulasnya selepas baru dikopek), telah naik hampir tiga kali ganda dari AS$9 ke AS$22 sekilo.

Eksport buah berharga ini telah melonjak naik, dengan Thailand mendahuluinya sebanyak AS$495 juta pada tahun 2016. Sementara Malaysia di belakangnya dengan hanya AS$18 juta. Bagaimanapun, pada awal 2017, negara itu memperoleh pesanan untuk mengeksport durian segar ke negara China yang berpopulasi 1.4 bilion itu. Pada waktu sama, adalah baik untuk mengetahui bahawa durian boleh mendatangkan banyak keuntungan --- lebih sembilan kali ganda daripada minyak sawit yang hanya memberikan AS$4,200 sehektar setiap tahun.'

"Rebutan ‘emas’ ini telah mencetuskan suatu bentuk rampasan tanah apabila raksasa korporat menggunakan kekuasaannya untuk menanam pokok buah itu. Sementara terdapat hampir 200 durian kacukan yang diketahui di Malaysia saja, Musang King yang banyak ditanam di daerah terpencil Gua Musang, Kelantan, menjadi yang paling dikehendaki.

Malah peminat durian (seperti peminat wain) menghargai persekitaran unggul daerah itu --- tanahnya kaya dengan potasium dan memiliki banyak kehidupan serangga.

Musang King juga dikenali dengan nama ‘Mao Shan Wang’ atau 'kucing tidur' kerana bentuk ulasnya selepas baru dikopek. – Foto: vkeong.com

Sungguhpun begitu, Kelantan adalah salah sebuah negeri paling terkebelakang dan paling lemah pentadbirannya. Diperintah oleh parti Islamis, Pas sejak 29 tahun lalu, indeks pembangunan manusianya berada di belakang Sri Lanka, malah Bangladesh.

Adanya kemiskinan yang memeritkan selama berdekad-dekad dan pertumbuhan ekonomi yang malap, ‘ledakan’ permintaan durian baru-baru ini telah mengakibatkan perubahan besar -- menghasilkan pihak yang untung, dan yang rugi.

Sekatan laluan masuk telah dibuat sejak Februari 2018. - Foto: Ceritalah

Sebagai contoh, suku kaum Temiar di Gua Musang yang terpencil menjadi mangsa kepada tindak balas alam sekitar apabila hutan warisan mereka dimusnahkan untuk dijadikan dusun durian yang besar.

Orang Asli Malaysia berjumlah 178,000 orang, iaitu kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan populasi, kini menjadi minoriti yang sedang berjuang. Tinggal di serata Semenanjung, mereka yang sebahagian besarnya bukan Muslim terdiri daripada banyak suku kaum. Temiar adalah salah satu suku yang besar.

Pemimpin-pemimpin Temiar berkeras terhadap tuntutan mereka. Mustafa Along yang berusia 31 tahun berhujah: "Ini adalah tanah kami, tanah adat yang dimiliki oleh nenek moyang kami sejak sebelum merdeka."

Sungai Nenggiri sudah keruh dan berkeladak seperti kopi susu. Ikan sudah tidak lagi dutemui dan airnya tidak boleh diminum. – Foto: Ceritalah

Malah Mustafa berada di barisan depan dalam satu gerakan untuk menghentikan pembersihan tanah yang berkait dengan penanaman durian: "Kita telah memulakan tindakan menyekat jalan masuk di Gua Musang sejak Februari 2018 lalu untuk menghalang syarikat-syarikat daripada memasuki tanah kaim untuk menumbangkan pokok untuk ditanam pohon durian mereka."

Bapa kepada tiga orang anak itu kini menghadapi tiga tuntutan undang-undang kerana mengetuai tindakan menyekat jalan berkenaan.

"Tanah itu adalah tanah kami. Walaupun ia tidak tertulis pada undang-undang, tetapi secara lisan adalah dipersetujui antara kerajaan Malaysia dan nenek moyang kami. Kami mempunyai kaitan dengannya sejak ribuan tahun dahulu. Kata-kata itu adalah benar -- jika anda memberikan Orang Asli sebilah parang dan sekotak mancis, lalu mereka dicampakkan ke dalam hutan, mereka akan dapat hidup. Tetapi jika mereka dicampakkan ke dalam bandar, mereka pasti mati."

Pokok durian memerlukan 6 tahun untuk mula berbuah, dan lagi 3 atau empat tahun untuk mencapai usia pokok buah yang sempurna. – Foto: JKOAK

Pasukan Ceritalah melawat sekatan itu pada Disember 2018. Sungai tempatan sudah keruh dan berkeladak seperti kopi susu. Pemendapan yang terbentuk daripada pembalakan telah menjadikan air itu tidak boleh diminum lagi.

Pada masa lalu, tumbuhan ubatan ada di hutan itu, banyak daripadanya dikutip oleh Orang Asli dan dijual. Kini kesemua akar-akarnya telah ditarik keluar dan tanah menjadi kering. Pokok-pokok berusia 100 tahun seperti pencakar langit yang melindungi kehidupan liar asal, kini ditebang untuk diberi laluan pada pokok durian yang ditanam mengikut grid, dengan setiap satunya berjarak 10 meter. Pemandangannya adalah menyedihkan, itulah yang paling kurang untuk dikatakan.

10,000 ekar tanah telah diperuntukkan bagi dijadikan ladang durian. Tempat ini adalah di Pos Simpor. – Foto: JKOAK

Shariffa Sabrina Syed Akil, seorang aktivis alam sekitar berusaha untuk campur tangan dan menyelesaikan pertikaian itu.

"Tujuan utama saya ialah untuk melindungi hutan negara daripada dimusnahkan --- terutamanya akibat pembalakan tidak teratur. Jika anda melindungi hutan, anda melindungi Orang Asli."

Terdapat beberapa perkembangan positif. Tiga bulan selepas pilihan raya Mei 2018 yang mengubah corak percaturan, Shariffa Sabrina dan Mustafa telah menyerahkan memorandum kepada kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memohon campur tangan kerajaan Persekutuan.

Syukurlah, amalan melobi dan aktivisme mereka membuahkan hasil dan pada 18 Januari 2019, pentadbiran Dr Mahathir memfailkan tuntutan mahkamah terhadap kerajaan negeri Kelantan kerana gagal melindungi tanah Orang Asli di Gua Musang.

Presiden PEKA, Shariffa Sabrina memuji langkah kerajaan dan menyifatkannya sebagai suatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. – Foto: Ceritalah

Bagi Mustafa Along, langkah itu adalah suatu kemajuan. "Ia adalah perkembangan penting. Ia menunjukkan bahawa kerajaan mengambil berat terhadap kebajikan dan kesejahteraan Orang Asli. Tetapi perkara sepatutnya berlaku bertahun-tahun dahulu. Kerosakan pada hutan kita tidak boleh dipulihkan."

Shariffa Sabrina menambah, pemuliharaan alam sekitar seharusnya bersifat menyeluruh.

"Saya memuji tindakan kerajaan ini --- ia merupakan suatu yang belum pernah berlaku. Tetapi akhirnya, adalah terpulang kepada rakyat Malaysia untuk mendidik diri mereka sendiri dan mengekalkan alam semula jadi yang dianugerahkan pada kita. Kita tidak boleh bergantung pada kerajaan. Hutan adalah milik kita semua".

Permintaan China terhadap durian berkeupayaan untuk menjejaskan dan merosakkan komuniti kecil Asia Tenggara. Kita perlu sedar terhadap kesan negatif --- alam sekitar, sosial dan budaya --- sebelum kita tergesa-gesa hendak memberikan bekalan kepada raksasa berpotensi di sebelah utara itu.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.