Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan supaya perkara yang dibangkitkan berkaitan sesuatu kementerian di dalam Parlimen Belia Malaysia (PBM) dijawab sendiri oleh menteri atau timbalan menteri.

Beliau berharap cadangan itu mendapat pertimbangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin agar perbincangan menjadi lebih terbuka dan penjelasan tepat dapat diberi mengenai sesuatu isu.

"Kalau ia menyentuh tentang sesuatu kementerian (misalnya), menteri atau timbalan perlu datang supaya maklumat tepat boleh diberikan sendiri oleh mereka,'' katanya ketika berucap pada jamuan malam meraikan Anggota PBM di sini malam tadi.

Khairy pada Rabu, membuat ucapan penggulungan persidangan PBM selama dua hari bermula Selasa.

Ia antara lain meluluskan usul supaya kerajaan mendesak organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) lebih serius dalam peranan mereka menangani krisis penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

- BERNAMA