ALOR SETAR: Seekor beruang matahari yang dipercayai sesat dari habitat asal Gunung Jerai masuk ke dalam sawah di Kampung Kabu Sepuluh, Selengkoh Tengah dekat Sungai Limau, di sini telah berjaya ditangkap.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, beruang matahari terbabit berjaya ditembak dengan menggunakan ubat pelali oleh anggota Perhilitan sekitar  jam 1 tengah hari tadi.

“Operasi menangkap beruang terbabit mengalami kesukaran kerana beruang itu bersembunyi di dalam rimbunan pokok padi sehingga sukar untuk dijejaki.

“Selepas ditangkap beruang itu di masukan ke dalam sangkar dan di bawa ke pejabat Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beruang matahari itu dipercayai tersesat dari habitat asalnya di Gunung Jerai lalu berkeliaran di dalam kawasan sawah padi berdekatan. - Foto JBPM


Dalam kejadian jam 10 pagi tadi, seorang pegawai bomba bantuan cedera di tangan kiri selepas digigit haiwan terbabit ketika cuba menangkap beruang matahari menggunakan tali di kawasan sawah.

Katanya, pegawai bomba yang cedera itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Beruang matahari betina dengan anggaran berat 90 kilogram (kg) itu dipercayai itu dipercayai tersesat dari habitat asalnya di Gunung Jerai lalu berkeliaran di dalam kawasan sawah padi berdekatan.

Beruang itu akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak untuk pemeriksaan selanjutnya.