KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor gajah liar dan beruang matahari di Kuala Krai, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata gajah jantan itu ditangkap di Kampung Gua Ikan manakala beruang matahari di Kampung Sungai Pas.

"Tangkapan dilakukan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan pada 11 pagi (Jumaat) selepas menerima aduan daripada penduduk.

"Beruang matahari pula ditangkap pada 5.30 petang apabila memasuki perangkap yang dipasang pihak kami di lokasi terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tangkapan terhadap gajah liar itu susulan pihaknya menerima aduan berulang melibatkan enam gajah liar berkeliaran di kawasan terbabit.

Mohamad Hafid berkata pihaknya menjalankan pemantauan berterusan di lokasi tangkapan hingga operasi pemindahan gajah itu selesai.

"Tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kampung berkenaan berhampiran kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa yang menjadi habitat asal gajah liar," katanya.

Beliau berkata beruang matahari berkenaan dipercayai dari HSK Kampung Sungai Rek yang terletak lima kilometer dari lokasi tangkapan dan haiwan itu akan dilepaskan ke Taman Negara Terengganu.

-- BERNAMA