JELI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor beruang matahari betina yang berkeliaran di sekitar kebun di Kampung Sungai Satan, Jeli semalam.


Ringkasan AI
  • Perhilitan Kelantan menangkap seekor beruang matahari betina di Kampung Sungai Satan, Jeli, bagi mengelakkan kerosakan tanaman dan harta benda penduduk.
  • Beruang tersebut akan dipindahkan dan dilepaskan semula ke habitat yang lebih sesuai dan selamat oleh Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dalam masa terdekat.
  • Penduduk disaran berhati-hati, berteman ketika ke kebun, tidak masuk ke kebun pada waktu malam, dan memasang lampu di sekeliling rumah untuk mengurangkan risiko serangan beruang.


Pengarah berkenaan Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada Selasa lepas sebelum memasang satu unit perangkap bagi menangkap haiwan liar berkenaan.

"Beruang matahari itu memasuki perangkap dan ini dapat mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pemindahan dan pelepasan semula beruang matahari itu ke habitat lebih sesuai dan selamat akan dilakukan dalam masa terdekat oleh petugas Pejabat Perhilitan Daerah Jeli.

Tindakan menangkap dan memindahkan beruang itu katanya bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan lokasi itu berhampiran kawasan Hutan Simpan Kekal Sungai Sator yang merupakan habitat asal hidupan liar berkenaan.

Mohamad Hafid berkata bagi mengurangkan risiko serangan beruang terhadap manusia, penduduk khususnya pekebun disaran sentiasa berteman ketika ke kebun, tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam dan memasang lampu di sekeliling rumah.

"Orang ramai disarankan lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan yang boleh mendatangkan risiko terhadap diri sendiri," katanya.

-- BERNAMA