TINDAKAN sebilangan pemilik premis sama ada kediaman atau pejabat yang menagih penyewa melunaskan sewa bulanan daripada penyewa ketika negara berhadapan dengan krisis COVID-19 adalah sesuatu yang tidak sewajarnya berlaku.

Ini kerana, bagi Pergerakan Pemuda UMNO, pemilik premis atau tuan rumah seharusnya memahami kepayahan yang sedang dilalui oleh sebilangan rakyat khususnya penyewa mereka.

Bagi ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, situasi yang menghimpit penyewa perlu mendapat perhatian daripada pihak berkuasa.

Berikut kenyataan rasmi sayap parti UMNO itu terhadak kemelut yang sedang melanda:

1) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia banyak menerima aduan orang ramai di kalangan penyewa mengenai tekanan yang dikenakan oleh tuan/pemilik rumah untuk melunaskan sewa bulanan walaupun kerajaan telah mengarahkan pelaksanaan moratorium pembayaran balik pembiayaan pinjaman perumahan oleh bank-bank.

2) Situasi ini sudah tentu amat dikesalkan lantaran terhakisnya sifat keihsanan dan timbang rasa sedangkan semua maklum ramai yang hilang punca pendapatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

3) Fenomena in juga memerlukan campur tangan segera kerajaan dengan memperkenalkan peraturan atau undang-undang yang dapat memelihara hak kedua-dua pihak penyewa dan pemilik premis, sebagai mana yang dilakukan oleh banyak negara ketika ini.

4) Kita bimbang sekiranya situasi ini gagal dibendung, ramai keluarga akan kehilangan kediaman tempat berteduh lantaran sikap rakus sebilangan pemilik rumah yang hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata.

5) Justeru, Pemuda UMNO juga ingin menyeru agar para pemilik rumah dapat menggunakan budi bicara dan menzahirkan sifat keihsanan kepada para penyewa dengan mengurangkan ataupun menangguhkan sewaan dalam tempoh PKP dan kepayahan semua menghadapi COVID-19 ketika ini.

Buat yang beragama Islam ada baiknya saya berkongsikan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 180 seperti berikut:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”


Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia