YAN: Mayat pekerja Jerai Hill Resort yang dilaporkan hilang akibat dihanyutkan air deras dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai di sini, ditemui malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat Sharuzi Mohamad, 53, ditemui di sebalik timbunan ranting kayu, daun dan lumpur pada jam 10.35.

Katanya, lokasi itu terletak berhampiran tangki air besar di kawasan berkenaan.

“Mangsa dihanyutkan air kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian dia dilaporkan hilang.

"Lokasi terbabit sama dengan mangsa yang ditemui selamat petang tadi.

"Operasi tamat jam 11.30 malam," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat berkenaan.


Kejadian Kepala Air | Dua disahkan maut, satu masih hilang

BACA: Bencana Gunung Jerai: Dua disah maut, satu masih hilang - MB

BACA: Bencana: Kepala air landa kaki Gunung Jerai, akibatkan kerosakan, banyak kawasan banjir

Dalam kejadian jam 4.30 petang tadi, tiga selamat manakala seorang lagi hilang selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai.

Seorang daripad mereka cedera di bahu dan sudah dihantar ke hospital menggunakan khidmat EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.


Bencana kepala air landa kaki Gunung Jerai, turut akibatkan banjir di kawasan sekitar

Bomba berkata, kesemua mereka adalah pekerja di Jerai Hill Resort di puncak Gunung Jerai.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan dua maut akibat bencana berkenaan.

Seorang lelaki berusia 65 tahun menjadi mangsa pertama yang dipercayai lemas susulan kejadian kepala air yang berlaku di Kampung Setoi, di kaki Gunung Jerai.

Seorang lagi lelaki iaitu Sharuzi, menjadi mangsa kedua, dengan mayatnya ditemui malam ini di atas gunung berkenaan. 

Terdahulu, lebih 10 kampung di kaki Gunung Jerai selain banyak kawasan perumahan di sekitar bandar Yan, Gurun dan Merbok dilanda banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena kepala air berkenaan kira-kira jam 3 petang tadi.


Bencana | 20 terkandas di puncak Gunung Jerai