Ringkasan AI
- METMalaysia menyediakan maklumat lengkap mengenai kuantiti, masa, dan luruan hujan terkini kepada agensi pengurusan bencana untuk ramalan dan amaran banjir.
- METMalaysia bertanggungjawab menyediakan maklumat hujan, manakala JPS menyediakan maklumat banjir.
- Malaysia sedang mengalami fasa peralihan monsun yang dijangka berterusan hingga awal bulan depan, berpotensi menyebabkan bencana seperti banjir, tanah runtuh, dan air pasang.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal), METMalaysia, Ambun Dindang berkata maklumat yang dikongsi termasuklah kuantiti, masa, dan luruan hujan terkini.
“Di pihak METMalaysia kita bekalkan maklumat dan kuantiti hujan yang bakal diterima oleh sesuatu kawasan. Ini kita akan kongsikan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mereka gunakan dalam program ramalan dan amaran banjir negara.
“Dari segi tanggungjawab, METMalaysia kongsikan maklumat hujan dan JPS kongsikan maklumat banjir. Itu perlu difahami masyarakat mengenai dua peranan berbeza dua agensi ini.
“Dari segi agensi pengurusan bencana juga kita bekalkan maklumat ramalan ini terutamanya dalam Musim Timur Laur (MTL),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambahnya, maklumat mengenai cuaca yang dikongsikan kepada pelbagai agensi pengurusan bencana adalah data-data terkini bagi membantu sebarang mobilisasi yang diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan oleh agensi terbabit.
Dalam laporan lain pada Rabu, media melaporkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) METMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Malaysia yang masih berada dalam fasa peralihan monsun sejak 24 September lepas dijangka mengalami fenomena itu secara berterusan hingga awal bulan depan.
Fenomena ini mungkin menyebabkan berlakunya pelbagai bencana termasuk banjir, tanah runtuh serta air pasang.
Agenda AWANI: Cuaca buruk: Hati-hati banjir, tanah runtuh