SINGAPURA: Kerajaan Singapura akan menyumbang AS$100,000 (AS$1=RM4.30) sebagai bantuan kewangan awal bagi menyokong usaha pengumpulan dana oleh Palang Merah Singapura (SRC) untuk banjir teruk yang menjejaskan daerah timur Bangladesh.

Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan sumbangan itu akan menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan memenuhi keperluan segera masyarakat terjejas akibat bencana alam berkenaan.

SRC pada 5 September telah melancarkan kempen pengumpulan dana awam sehingga 31 Oktober bagi terus menyokong usaha pemulihan di Bangladesh.

Pertubuhan itu telah memperuntukkan AS$50,000 untuk menyokong operasi kecemasan dengan menyediakan bantuan penting kepada komuniti yang terjejas melalui Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh (BDRCS).

Menurut SRC, lebih 5.8 juta orang terjejas di 492 majlis perbandaran, dengan sekurang-kurangnya 502,501 penduduk berlindung di 3,403 pusat pemindahan akibat hujan lebat sejak akhir Ogos.

Sekurang-kurangnya 52 orang maut dan lebih 1.2 juta keluarga terperangkap dalam banjir di 11 daerah di timur Bangladesh.

Lakshmipur, Noakhali, Cumilla dan Feni merupakan antara daerah paling teruk terjejas, menurut kenyataan SRC yang memetik laporan media dan rakan kongsi kemanusiaan.

-- BERNAMA