Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), ini amat penting kerana bencana terkini seperti banjir yang dahsyat di Sepanyol menunjukkan impak yang semakin besar akibat cuaca ekstrem.
"Tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 Tsunami Lautan Hindi - salah satu bencana paling dahsyat dalam sejarah terkini. Lebih daripada 230,000 orang kehilangan nyawa," kata Guterres dalam mesejnya sempena hari berkenaan.
Beliau menekankan kira-kira 700 juta orang di seluruh dunia berisiko menghadapi tsunami, dan perlindungan terbaik datang melalui inisiatif amaran awal untuk semua oleh PBB yang bertujuan memastikan akses sejagat kepada sistem amaran yang menyelamatkan nyawa.
Walaupun tsunami jarang berlaku, Pejabat PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR) melaporkan bahawa ia adalah antara bencana semula jadi paling membawa maut di dunia.
Gelombang tsunami yang kuat ini - biasanya dicetuskan oleh gempa bumi bawah laut, letusan gunung berapi, atau tanah runtuh - telah menyebabkan lebih daripada 260,000 kematian dalam tempoh satu abad yang lepas, dengan kerugian ekonomi melebihi AS$280 bilion.
Menurut Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan (IOC) agensi sains PBB UNESCO, gelombang tsunami boleh melanda pantai dalam beberapa minit selepas kejadian tercetus, bergerak melintasi lautan pada kelajuan sehingga 800 kilometer sejam.
Sistem amaran awal telah membuktikan kejayaan dalam mengurangkan kematian dan kerugian ekonomi akibat bencana di seluruh dunia, dengan pulangan pelaburan hampir 10 kali ganda melalui nyawa yang diselamatkan dan kerosakan yang dielakkan.
"Dengan perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia membawa kepada cuaca dan keadaan iklim yang lebih ekstrem, sistem amaran awal bukanlah satu kemewahan tetapi alat yang menjimatkan kos dan menyelamatkan nyawa," kata Guterres ketika melancarkan inisiatif Amaran Awal untuk Semua pada 2022.
Walaupun terdapat kemajuan teknologi dalam ramalan dan pemantauan bencana, cabaran besar masih wujud. Hanya separuh daripada negara di seluruh dunia melaporkan mempunyai sistem amaran awal pelbagai bahaya yang mencukupi, menurut penilaian terbaharu PBB.
Kesan amat dirasai di kawasan membangun, di mana bencana berkaitan iklim menyebabkan kematian 15 kali ganda lebih tinggi berbanding kawasan lain di dunia.
Inisiatif Amaran Awal untuk Semua oleh PBB yang dilancarkan pada 2022, bertujuan menutup jurang kritikal ini menjelang 2027.
"Pendidikan adalah penting untuk menyelamatkan nyawa dan seperti yang diingatkan tema tahun ini, penyertaan kanak-kanak dan golongan muda adalah kritikal," tegas Guterres, menggesa kerajaan dan rakan kongsi di komuniti pesisir pantai untuk memastikan penduduk memahami prosedur pemindahan.
Setiausaha Agung mengakhiri dengan seruan tindakan segera: "Bersama-sama, mari pastikan masa depan manusia tidak dihanyutkan oleh tsunami. Mari kita bina daya tahan - sekarang." - BERNAMA