IPOH: Sebanyak 3,000 kawasan cerun yang didapati berisiko diletakkan di bawah pengawasan dan pemerhatian rapi Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata kawasan cerun berisiko itu dikenal pasti selepas Kementerian Kerja Raya (KKR) selesai melakukan pemetaan di 27,000 cerun di Jalan Persekutuan.

"Integrated Slope Management System yang berpusat di Cawangan Kejuteraan Cerun, melakukan pemantauan menggunakan teknologi yang akan memerhatikan pergerakan tanah.

"Jurutera daerah juga akan memantau kawasan cerun berisiko yang disenaraikan bagi memastikan kestabilan cerun, dibantu konsensi yang dilantik," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih Jalan di Laluan FT185 Seksyen 44.10, Jalan Simpan Pulai-Blue Valley, Daerah Kinta di sini hari ini.

Ahmad berkata kawasan cerun berisiko akan dilengkapi sistem amaran awal (EWS) dan terbaharu sistem berkenaan telah dipasang di kawasan berisiko di Batang Kali, Selangor.

Sementara itu, Ahmad berkata kemajuan keseluruhan projek pembaikan cerun di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang dimulakan pada Julai 2022 kini berada pada tahap 33.31 peratus dan dijangka siap Disember 2025.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan yang mengalami runtuhan setinggi 250 meter dan sepanjang 600 meter berkenaan melibatkan skop kerja ukur tanah, siasatan tanah, kerja pengukuhan cerun, kerja sistem perparitan, kerja pencegahan dan amaran awal tanah runtuh.

"Kerja-kerja pengukuhan cerun berkenaan menelan kos RM122 juta," katanya.

-- BERNAMA