KUALA LUMPUR: Proses pengumpulan data secara lebih berkesan dan menyeluruh penting dalam operasi pasca bencana untuk mengetahui keperluan unik bagi kawasan terjejas.


Ringkasan AI
  • Pengumpulan Data yang Menyeluruh: Data yang dikumpulkan secara berkesan membantu mengenal pasti keperluan mendesak mangsa dan menentukan jumlah kerugian akibat bencana. Penilaian Keperluan Pasca Bencana: Kepakaran diperlukan untuk menilai kerosakan berdasarkan paras ketinggian air, yang membantu menentukan nilai kerugian. Proses Saringan Mangsa: Data yang terkumpul memudahkan proses saringan mangsa bencana berdasarkan tahap kerugian yang dialami, dari yang paling teruk hingga yang ringan.


Penasihat Kanan Teknikal MERCY Malaysia, Norazam Abu Samah berkata, data tersebut bukan sahaja membolehkan bantuan mendesak diperlukan mangsa dapat dikenal pasti, bahkan juga membantu pihak berkuasa menentukan jumlah kerugian kemusnahan akibat bencana. 

“Bagi menilai atau melakukan Penilaian Keperluan Pasca Bencana (Post Disaster Needs Assessment), kita perlukan kepakaran. Lebih mudah dengan kepakaran ini. Mereka hanya perlu lawati dan perhatikan (kawasan bencana), melihat kepada paras ketinggian akhir, sudah boleh diketahui kerosakan yang berlaku. 

“Daripada ketinggian paras ini juga, mereka boleh kenal pasti nilai kerugian. Sekiranya, (paras air) satu meter, berapakah barangan yang berada bawah paras air itu yang menyebabkan kerugian. 

“Sekiranya (paras air) lebih daripada dua meter, bermakna berlaku kehilangan secara keseluruhan. Data-data ini akan membantu Pejabat Daerah untuk menilai kerugian yang dialami berdasarkan paras air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Proses pengumpulan data berkesan, menyeluruh bantu operasi pasca bencana – MERCY Malaysia

Tambah Norazam, data terkumpul itu juga boleh memudahkan proses saringan mangsa bencana berdasarkan kepada tahap kerugian yang dihadapi daripada tahap paling teruk, sederhana atau ringan.

Beliau berharap amalan pendataan yang ketika ini sudah dimulakan oleh Rakan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) boleh diperluas kepada lebih ramai pihak yang terlibat dalam misi pasca bencana.