YAN: Seramai 19 kakitangan The Jerai Hill Resort terkandas di puncak Gunung Jerai, selepas laluan turun ke kaki gunung berkenaan terputus akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku petang Rabu.

Kakitangan hotel berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Hisyam, 32, berkata kesemua kakitangan hotel berkenaan tidak dapat pulang ke rumah masing-masing, dan terpaksa bermalam di atas puncak gunung tersebut malam tadi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana Gunung Jerai: 2 maut, 1 dikhuatiri hilang


Bencana kepala air landa kaki Gunung Jerai, turut akibatkan banjir di kawasan sekitar

"Hujan turun lebat serta ribut berlaku sejak pukul 2 petang dan kira-kira pukul 4 petang tadi kejadian tanah runtuh berlaku, yang dilaporkan di tengah-tengah Gunung Jerai sehingga menyebabkan laluan naik dan turun di gunung berkenaan tertutup.

"Bekalan elektrik di hotel juga telah terputus sebaik kejadian tanah runtuh berlaku dan sekarang kami hanya bergantung dengan penggunaan mesin 'generator' bagi mendapatkan bekalan elektrik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam tadi.

Katanya, buat masa ini keadaan di puncak gunung itu terkawal dan hujan sudah berhenti, selain pasukan keselamatan temasuk polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut berada di situ bagi memantau keadaaan.


Kejadian Kepala Air | Dua disahkan maut, satu masih hilang