Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya (termasuk kepimpinan kerajaan terdahulu) telah tiga kali mengutuskan surat permohonan kepada pemerintahan Kuwait, namun masih tiada jawapan diterima kementerian itu.
"Cadangan perolehan pesawat F/A-18C/D terpakai dari Kuwait ini masih dalam peringkat penelitian. Tetapi disebabkan kerajaan Kuwait sudah lima kali kabinetnya bertukar, jadi tiada siapa yang benar-benar membuat keputusan sekarang ini.
"Tiada sebarang bentuk komitmen daripada Kuwait mengatakan bahawa mereka bersetuju atau tidak dengan permohonan kita, untuk mendapatkan jet-jet pejuang multi role combat aircraft (MRCA) ini," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, walaupun pesawat pejuang yang dipohon itu adalah jenis terpakai namun ia memiliki jam penerbangan yang rendah serta telah dinaik taraf.
"Jadi, kalau kita dapatkan perolehan dari Kuwait ini, ia merupakan satu perkara yang amat baik kerana boleh dapat dengan harga yang lebih murah," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penambahan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion kepada MINDEF dalam belanjawan kali ini, Mohamad berkata ia bukan semata-mata berkait dengan isu perolehan projek kapal tempur pesisir (LCS).
"Seperti yang saya jelaskan masa jawab pertanyaan lisan dan penggulungan jawapan titah Diraja lalu, tidak timbul isu penambahan bajet untuk perolehan LCS sahaja.
"Ketika ini MINDEF sedang teliti khusus demi memastikan pembinaan LCS ini dapat diteruskan dan dalam fasa akhir memuktamadkan cadangan urusan penerusan projek melalui penyediaan memorandum jemaah menteri, yang dirancang dibentangkan dalam masa terdekat," katanya.
Mohamad berkata MINDEF akan berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sebelum membentangkan hasil perbincangan tersebut kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.
-- BERNAMA